Thursday, June 9, 2011

Memancing Udang Galah

Musim memancing udang galah adalah bermula dari bulan Februari sehingga bulan Jun atau Julai pada setiap tahun. Waktu ini adalah amat sesuai kerana biasanya waktu ini adalah waktu selepas banjir dan diikuti oleh musim panas yang berpanjangan. Namun begitu, di Malaysia pada masa ini, musim hujan dan panas telah tidak menentu. Walaupun pada bulan Februari sehingga Jun, dijangkakan adalah musim panas, masih ada musim hujan yang kadang-kadang meresah dan merunsingkan kaki pancing udang galah.

Kita lupakan masalah tersebut. Sebagai kaki pancing udang galah, panas 4 ke 5 hari telah cukup untuk kita melabuhkan umpan kita. Yang penting, pancing tetap pancing. Ada kesempatan..jangan tunggu lagi. Jika tunggu lagi, guruh akan berdentum di langit. Punahlah harapan kita untuk melepaskan gian menaikkan galah...

Persediaan Memancing.

  1. Tentukan lokasi anda dengan berbincang dengan rakan anda terlebih dahulu. (Jika saya, tidak lain dan tidak bukan, Sungai Rompin, Pahang adalah pilihan utama)
  2. Pastikan Engine anda dalam keadaan terbaik. Minyak 2T telah diisi sebelum memasukan bahan bakar. Jika gunakan Engine 4 Stroke, tidak perlu minyak 2T. Pastikan, jaket keselamatan, pendayung, kabel dan tangki minyak di bawa bersama.
  3. Jangan lupa, perkara yang amat penting, joran dan peralatan memancing termasuk peti simpanan ikan di bawa bersama. Pastikan juga, ais telah diisi. 
  4. Dan perkara teramat penting ialah umpan seperti cacing yang akan digunakan nanti. Letakkan cacing atau umpun-umpun yang akan digunakan nanti di tempat yang tidak panas. Jangan letakkan umpun-umpun di dalam bonet belakang kereta. Kalau boleh letakkan di bahagian hadapan kereta supaya mendapat kesejukkan air-cond kereta.
  5. Kalau boleh buat cek list seperti berikut:  
  •  Engine - lengkap dan berkeadaan baik
  • Tool Box
  • Joran - 5 batang
  • Batu Ladung saiz 4 - 6 
  • Mata pancing saiz 9 ke 10
  • Umpan
Lokasi Memancing


  1. Pastikan perahu/boat yang anda gunakan berkeadaan baik. Tiada kebocoran.
  2. Ikat engine anda ke perahu dengan ketat. Pastikan semua peralatan telah dimasukkan ke dalam perahu. Tengok semula cek list yang telah anda buat.
  3. Untuk keselesaan, adalah dicadangkan 2 orang untuk satu sampan.
  4. Bergeraklah ke hilir atau ke hulu sungai untuk mencari lokasi yang sesuai untuk anda melabuhkan pancing anda. Waktu memancing yang paling sesuai ialah pada awal pagi. Air yang mula pasang atau mula menyusut adalah waktu paling sesuai. Pada waktu ini ikan dan udang akan mula memakan umpan.
  5. Pilihlah lokasi di mana keadaan air tidak terlalu berarus dan tidak terlalu tenang. Udang amat suka tempat-tempat yang banyak makanan seperti longgokan sampah dan banyak anak-anak kayu.
  6. Setelah lokasi sesuai anda temui, ikat perahu anda ke anak pokok di tebing sungai. Kalau boleh biarkan perahu anda dalam keaadaan melintang sungai. Anda juga boleh menggunakan sauh untuk memastikan kedudukan perahu anda selesa dan sesuai untuk anda melabuhkan joran anda.
Mengesan Udang Memakan Umpan


  1. Ada kalanya, gerakan kuat berlaku bila pancing telah dimakan udang.
  2. Ada kalanya tiada kesan gerakan lansung yang boleh dilihat bila pancing telah dimakan udang terutama pada tempat yang berarus kuat atau keadaan air pasang mati.
  3. Oleh itu sentiasa cek pancing anda setiap 5 minit sekali. Angkat pancing perlahan setinggi empat kaki tinggi. Pada masa itu, anda akan rasa ada gerakan mengikut jika udang telah melekat di mata pancing. Sentak dengan lembut dan mulakan menggulung pancing dengan perlahan.
  4. Gerakan kuat pada joran tidak bermakna udang besar telah terkena. Begitu juga jika gerakan kecil pada joran, tidak bermakna udang kecil memakan umpan pancing anda.  Gerakan pada joran anda juga tidak bermakna udang yang memakan umpan anda. Mungkin anak-anak ikan kecil yang juga menyukai cacing atau perumpun yang anda gunakan. Itulah cabaranya. Anda perlu sabar.
Petua Berguna

  1. Mulakan dengan Bismillah.
  2. Jaga mulut jangan celupar.
  3. Sentiasa ceria dan bercerita dengan rakan agar anda tidak bosan.
  4. Jangan menyumpah atau mengeluarkan perkataan kesat bila pancing anda tersangkut atau diputuskan buntal atau mendapat anak ikan kecil. Mereka juga adalah makhluk Allah dan mahu makan. Lepaskan semula jika anda tidak mahu.
  5. Sentiasa berkerjasama dan bertolak ansur dengan rakan anda.


Sekian untuk posting kali ini. Semoga maklumat yang dikongsikan berguna kepada anda. Saya juga akan buat posting dengan artikel-artikal berbahasa Inggeris khususnya berkaitan aktiviti memancing laut dalam. Terima kasih.

  

No comments: