Thursday, June 9, 2011

Cara Patin Memakan Umpan

Patin atau Pangasius Sutchi adalah spesies ikan air tawar yang mendiami kawasan-kawasan sungai dan lombong. Bentuk fizikal utamanya mempunyai dua sengat di kiri dan kanan dan satu di belakang badan, tidak bersisik dan lembut.

Di kolam-kolam memancing air tawar, spesies ini sangat terkenal kerana ia merupakan antara spesies yang sentiasa diburu kerana keganasannya memakan umpan dan akan menarik kuat bila terkena pancing. Kekuatan mata dan tali pancing ditambah dengan pengalaman memancing menjinakkan spesies ini menjadi penentu seseorang pemancing itu berjaya atau tidak menewaskan spesies yang telah ini, terutamanya yang bersaiz melebihi 10 kilogram.

Mungkin ramai pemancing yang tertanya-tanya, bagaimanakah spesies ini meragut umpan ? Dan apakah umpan yang paling sesuai untuk menewaskan spesies ini ?

Patin adalah spesies yang suka bermain-main di kawasan tengah kolam dan sering berenang pada kedalaman kira-kira 2 kaki di bawah permuakaan air. Walau bagaimanapun, jika tiada makanan di permukaan air, spesies ini akan bergerak ke dasar kolam atau tasik untuk mencari makanan.

Kaedah pancingan paling sesuai untuk memerangkap patin adalah dengan menggunakan teknik pelampung dengan tali perambut steel bersaiz 2 ke 3 kaki di bawah permukaan air. Tekknik umpan apung juga boleh digunakan untuk mengumpan spesies ini untuk menjamah umpan.

Tetapi, apakah umpan yang paling sesuai dan amat digemari oleh spesies ini ? Sebenarnya tidak ada umpan khusus atau terbaik untuk mengumpan spesies ini. Segala-galanya bergantung kepada keadaan persekitaran kolam, tasik atau lombong itu. Bagi ikan patin yang berada di kolam-kolam memancing biasanya akan suka menjamah roti atau usus haiwan. Ini kerana semasa di kolam pemeliharaan sebelum dipindahkan ke kolam memancing, spesies tersebut biasanya diberi roti atau usus haiwan sebagai makanan hariannya.

Namun begitu, usus haiwan terutamanya usus ayam adalah menjadi makanan yang paling popular dan disukai oleh spesies ini. Sebab itu, umpan yang berasaskan usus haiwan (ayam) adalah umpan yang paling sesuai untuk mengumpan spesies ini.

Dedak yang berasaskan usus haiwan juga adalah antara makanan yang digemari oleh spesies ini. Ada juga pemancing yang mencampurkan dedak dengan roti sebagai umpan untuk memerangkap ikan ini. Sebahagian pemancing pula menggunakan roti yang dimasamkan dengan muripan, sejenis bahan penaik, sebagai ramuan umpan untuk memerangkap spesies ini.

No comments: